Semua orang pasti pernah merasakan sesuatu yang tidak diinginkan. Semua orang juga pasti mempunyai masalah dalam kehidupannya. Di saat orang lain hidup bahagia dan senang, kita pula diuji dengan kesusahan dan kesempitan. Sebenarnya, ini adalah sunnatullah buat kita semua.
Ada pula apabila diuji, dia mengeluh dengan kawan-kawan, ada yang mengeluh di media sosial. Tetapi, jarang mengeluh dan mengadu kepada Allah swt. Sedangkan, Nabi Ya'kub a.s mengatakan:
إِنَّمَا أَشْكُو بَثِّي وَحُزْنِي إِلَى اللَّهِ Maksudnya: “Sesungguhnya hanya kepada Allah sahajalah aku mengadu segala kesusahan dan kesedihanku” [Surah Yusuf: 86]
Ini tidaklah bermakna dengan manusia tidak boleh mengadu segala kesusahan kita, boleh sahaja, cuma agama nak ajar kita bahawa kita ada Allah yang: يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ وَيَكْشِفُ السُّوءَ Maksudnya: “Yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan” [Surah al-Naml : 62]
Dengan manusia cukuplah sekadar berbincang dan minta pendapat seperti saranan Allah swt di dalam al-Quran. [Surah Aali 'Imran: 159]
Perlu diingat juga, bukanlah apabila kita mengeluh dan mengadu kepada Allah itu adalah sifat tercela, ini kerana andai masih ada sifat redha dan sabar maka ia masih perbuatan yang mulia. Malah disebutkan dalam tafsir:
Disunnahkan berdoa dengan menjelaskan keadaan kesulitan yang dihadapi, walaupun Allah mengetahui keadaan kita, kerana Allah swt menyukai kerendahan seorang hamba yang menunjukkan kehinaan dan kelemahannya.” [Tafsir al-Sa'di]
Perbuatan ini juga dilazimi oleh sebilangan para Nabi yang mana mereka redha akan taqdir Allah, tetapi mereka sentiasa jadikan kesusahan dan kesempitan hidup mereka sebagai 'talian hayat' dalam doa mereka, seperti:
1. Nabi Ayub a.s. [Surah al-Anbiya': 83]
2. Nabi Zakaria a.s [Surah Maryam: 2 -7]
3. Nabi Ya'kub a.s [Surah Yusuf: 86]
Mengeluh yang tercela adalah keluhan yang menunjukkan protes atau rasa marah terhadap taqdir Allah swt. Adapun mengeluh kepada Allah dengan menunjukkan kelemahan dan kehinaan serta ketidakmampuan dalam rangka untuk meminta pertolongan Allah, maka inilah yang disukai oleh Allah dan terpuji.